fbpx

KDN perlu siasat dakwaan ejen Mossad aktif di Malaysia – Khaled Nordin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled.

JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu melihat kewujudan dan operasi Mossad di negara ini sebagai satu perkara serius kerana ia bukan sahaja melibatkan keselamatan negara tetapi juga maruah dan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kewujudan agensi pengintipan rejim haram Israel itu membangkitkan kegusaran pelbagai pihak apatah lagi setelah dikatakan mereka sudah lama bertapak di negara ini.

“Malaysia tidak boleh dibiarkan menjadi medan operasi pengintipan jahat mana-mana pihak, apatah lagi oleh rejim haram seperti Israel yang tidak pun diiktiraf oleh negara kita.

“Adalah kritikal untuk pihak berkuasa meneliti dan menyiasat saluran serta ‘entry window’ yang membolehkan operasi sedemikian menyelinap masuk, bertapak serta beroperasi dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dakwaan wujudnya ejen perisikan dari Israel yang masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, pula memberitahu pihaknya meminta orang ramai tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat sehingga mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Mohamed Khaled turut menegaskan terdapat keperluan untuk KDN tampil dan membuat penjelasan berhubung perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan awam.

“Penglibatan ramai warga tempatan dalam sindiket itu menuntut hukuman tegas dan keras, malah kerajaan perlu membentuk pasukan khas segera untuk meneliti dan mendalami taktik serta strategi Mossad mendekati dan melatih orang tempatan.

“Sudah pasti semua ini tidak berlaku dengan mudah melainkan mereka benar-benar memahami ekosistem dan pendekatan keselamatan dalam negara kita.

“Pihak kerajaan mesti melihat isu ini secara serius dan menjelaskannya kepada masyarakat. Kita bukan sahaja ingin menjawab kekeliruan dan mengetahui perkara sebenar, tetapi ia juga boleh menjadi amaran serta meningkatkan kesedaran orang awam berhubung jenayah ini,” ujarnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI