fbpx

Fuad muncul juara Piala Sultan Mizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULTAN Mizan Zainal Abidin (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Mohammad Fuad (dua dari kanan) yang menjuarai Piala Sultan Mizan di (TIEP), Setiu kelmarin.

ATLET negara, Mohammad Fuad Hashim muncul juara Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Setiu kelmarin.

Mohammad Fuad yang mewakili State of Terengganu Endurance Team (STET) menamatkan perlumbaan 120 kilometer itu dalam masa 6 jam 54 minit 18 saat (s) dengan purata kelajuan 17.38 kilometer per jam (km/j).

Selaku juara, Mohammad Fuad membawa pulang wang tunai RM20,000, piala pusingan dan iringan serta medal.

Beliau juga  menerima wang tunai RM25,000 setelah kuda tunggangannya dinobatkan sebagai kuda terbaik kejohanan.

“Ini adalah kejuaraan kali ketiga Piala Sultan Mizan setelah memenanginya pada tahun 2018 dan 2019. Begitupun, kejayaan ini hadir dengan cabaran hebat termasuk daripada peserta antarabangsa.

“Selain itu, cuaca tidak menentu juga agak mengganggu rentak dan keserasian saya bersama kuda yang terkesan dengan perubahan suhu ketika berlumba di laluan trek mencabar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di TIEP.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin  berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah terbabit kepada Mohammad Fuad.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Fuad gembira latihan intensif sejak tiga bulan lalu membuahkan hasil apabila kudanya berjaya tiba paling awal di garisan penamat.

Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut mengambil bahagian dalam kategori individu CEI 120km berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan masa 7:58:12s.

Tempat kedua pula menjadi milik Aimin Azfar Nazulki (7:24:06s) daripada Best Endurance Team (BET), manakala wakil Royal Kelantan Endurance, Mohamad Hafiz Mustafa (7:41:05s) di tempat ketiga.

Pasukan BET diwakili Aimin Azfar, Nur Qasrina Amani Zakaria, Hannah Irdina Kamarul Azam dan Yusof Luqman Zakaria pula mengungguli kategori berpasukan.

Mereka mengumpul masa keseluruhan 27:08:28s sekaligus membawa pulang RM20,000, piala pusingan, piala iringan dan medal. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI