PETALING JAYA – Enggan dilabel sebagai penerima anugerah ‘syok’ sendiri, selebriti versatil Shiha Zikir mengambil langkah mendapatkan perincian daripada penganjur berhubung pemilihannya dalam majlis anugerah The Ikon Brands Award 2022, malam tadi.
Dalam majlis tersebut, Shiha menerima pengiktirafan bagi kategori Prestigious Brand Women CEO In Entertainment Industry berdasarkan versatilitinya sebagai anak dan penggerak industri muzik tanah air.
Shiha, 35, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, setiap kali jika menerima sebarang pengiktirafan, dia ingin tahu tentang kriteria yang membuatkan dirinya terpilih kerana enggan disalah anggap oleh orang lain.
“Setiap kali kalau saya menerima sebarang penghargaan, saya akan tanya terlebih dahulu mengapa saya dipilih?
“Bukan apa, saya tidak mahu dilabel menerima anugerah ‘syok’ sendiri. Kalau boleh pengiktirafan itu biarlah kerana saya dihargai dan benar-benar layak,” katanya kepada Kosmo! Online.
Kata Shiha, dia tidak menyangka ada juga pihak yang nampak perjuangannya dalam industri sebagai anak seni dan berasa sangat bersyukur atas kejayaan yang diraihnya dalam anugerah tersebut.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur. Sebenarnya saya dapat tahu terpilih untuk menerima anugerah ini beberapa hari lalu. Terkejut jugalah sebab saya tidak tahu apa-apa.
“Cuma penganjur memaklumkan anugerah ini diberi kerana bakat saya (versatil) dalam industri seni,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd. Zikir itu lagi, ramai tidak tahu penglibatannya dalam bidang seni bukan sahaja sebagai penyanyi, pelakon dan juga pengacara. Bahkan Shiha turut aktif dalam kerja di belakang tabir dalam bidang pengurusan acara sejak 2016.
“Ramai tidak tahu saya sudah lama buat majlis-majlis belakang tabir. Cari artis-artis untuk persembahan korporat bawah syarikat saya sendiri, Shiha Zikir Empire Holdings Sdn. Bhd.
“Saya sangat bersyukur kerana ada pihak terfikir nama saya sebagai penerima anugerah ini,” katanya.
Dengan pengiktirafan yang diterima itu, Shiha berkata semangatnya untuk terus bekerja keras menjadi semakin berkobar-kobar untuk berkongsi rezeki dengan orang lain.
“Anugerah ini merupakan satu penghargaan besar buat diri saya. Mudah-mudahan niat saya untuk berkongsi rezeki dengan orang lain dipermudahkan.
“Setiap projek yang dijalankan saya akan kongsi rezekinya dengan orang lain. Saya juga mahu mencari bakat-bakat baharu yang tidak mengejar populariti, tetapi ada semangat seni yang kuat dalam dirinya,” jelas Shiha.
Pada tahun lalu, Shiha mengharumkan nama Malaysia apabila diumumkan sebagai penerima trofi Best of Asian – Pop dalam acara InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 kelolaan agensi berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Penyanyi bersuara merdu itu mengakui pengiktirafan itu bukan hanya untuk diri sendiri, malah keseluruhan pasukannya yang merealisasikan dendangan seindah AEWO hingga dipilih sebagai pemenang. – KOSMO! ONLINE