fbpx

Berhabis RM47,000 bina rumah terapung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
A. Bakar menunjukkan rekaan inovasinya, rumah terapung sebagai persediaan musim tengkujuh tidak lama lagi.

KEMAMAN – Serik berdepan dengan kemusnahan harta benda akibat banjir setiap kali musim tengkujuh, seorang warga emas, A. Bakar Che Ahmad, 67, melakukan inovasi dengan membina rumah terapung.

Bekas pemandu lori itu, berkata, idea tersebut timbul selepas dia dan isteri, Fatimah Salleh, 61, mendapati rumah mereka semakin usang apabila ditenggelami bah saban tahun.

“Rumah kami tidaklah terjejas teruk kerana agak tinggi yang membolehkan kami berlindung pada setiap kali musim tengkujuh.

“Begitupun, binaan luarnya yang diperbuat daripada kayu semakin lama mula mereput kerana sering terendam dengan air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebak, Air Putih di sini semalam.

A. Bakar berkata, dia kemudiannya mendapat idea untuk membina rumah terapung ber­kenaan berikutan kejayaan reban ayam terapung yang juga hasil inovasinya sebelum ini.

Jelasnya, rumah terbabit diperbuat daripada kayu dan disokong dengan 69 biji tong plastik yang akan berfungsi sebagai pelampung apabila musim banjir nanti.

“Tujuh anak saya memberi sokongan dan sama-sama membantu mengeluarkan kos pembinaan kira-kira RM47,000.

“Saya mengambil masa hampir tujuh bulan sejak bulan Februari lalu untuk menyiapkan rumah yang mempunyai lima bilik dan bilik air ini seorang diri,” ujarnya.

A. Bakar berkata, berdasarkan pengalaman dan kajian, rumah binaannya itu mampu terapung pada musim banjir pada ketinggian sehingga lima meter.

Tambah beliau, rumah itu akan diikat pada dua tiang se­tinggi enam meter yang dibina pada sisi kiri dan kanan.

“Ia bagi memastikan rumah kami ini tidak ha­nyut. Banyak faktor diambil termasuk kelajuan arus banjir sebelum membinanya,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berharap semua perancangan dan usaha suaminya berjalan lancar pada musim banjir kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI