fbpx

Bantuan Kewangan Haji bakal diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Idris ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim 1443H di Menara TH hari ini. - Foto AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji tahun hadapan kepada bakal jemaah haji yang memerlukan terutama golongan B40.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, bantuan haji secara bersasar yang telah dilaksanakan bermula tahun ini dilihat berkesan bagi mengurangkan beban tanggungan pihak TH.

“Bantuan ini dapat mengurangkan beban TH yang terlalu tinggi kerana TH juga perlu membayar agihan keuntungan kepada hampir sembilan juta pendepositnya.

“Kos untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima ini dijangka akan terus meningkat disebabkan kos penginapan, pengangkutan, makan minum dan lain-lain perkhidmatan yang turut naik,” jelasnya di Menara TH hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim 1443H.

Dalam pada itu, tambah Idris, pada musim haji akan datang, kos haji mungkin akan meningkat sekitar RM31,000 seorang dan ini bermakna TH bakal menanggung bantuan haji sebanyak RM18,000 hingga RM20,000 untuk seorang jemaah.

“Ingin saya syorkan di sini agar bakal-bakal haji akan datang yang berkemampuan dan memenuhi konsep Istito’ah haji untuk membayar penuh bayaran kos haji bagi membolehkan TH membiayai lebih ramai lagi golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Kos haji pada awal tahun ini yang dianggarkan hanya RM25,540, namun telah meningkat kepada RM28,632 bagi seorang Jemaah.

“Peningkatan ini disebabkan beberapa caj baharu dan peningkatan kos sedia ada oleh syarikat pengurusan jemaah di Arab Saudi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI