KUALA LUMPUR – Gergasi hoki No.1 dunia, Australia teruja kerana mendapat peluang beraksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil yang merupakan venue untuk Piala Dunia Hoki Remaja 2023 hujung tahun depan.
Kookaburras seolah-olah sudah serasi dengan keadaan permukaan Padang 1 di Stadium Hoki Nasional berdasarkan persembahan dipamerkan para pemainnya ketika menentang skuad hoki remaja negara semalam.
Ia terbukti menerusi kemenangan 4-1 ke atas skuad Young Tigers dalam aksi persahabatan itu menjelang Piala Sultan Johor (SOJC) yang akan diadakan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru bermula Sabtu ini.
Ketua jurulatihnya, Jay Stacy mendedahkan, ia adalah faktor utama mereka memilih untuk melakukan aksi pemanas badan dengan Malaysia di Stadium Hoki Nasional, bukannya di Stadium Hoki Taman Daya.
“Separuh daripada pasukan saya masih boleh bermain pada Piala Dunia (Hoki Remaja) di sini tahun depan. Saya mahu mereka merasai pengalaman bermain di atas padang ini.
“Mereka nampak boleh menyesuaikan diri selepas kami lakukan double session di sini semalam (kelmarin). Saya nak mereka biasakan diri dengan keadaan dan persekitaran bandar Kuala Lumpur.
“Malah saya juga ada kenangan manis di sini. Ketika saya berada dalam skuad Kookaburras, kami pernah kalahkan Malaysia pada final Sukan Komanwel 1998 di sini,” katanya.
Biarpun berstatus kuasa besar dunia di peringkat senior tetapi skuad remaja Australia cuma sekali dapat menjulang kejuaraan Piala Dunia Hoki Remaja sewaktu edisi 1997 di Milton Keynes, England. – KOSMO! ONLINE