PETALING JAYA – Bintang muda Harimau Malaya, Arif Aiman sekali lagi membuktikan bahawa dia memiliki kelas tersendiri apabila menjadi pemain paling bernilai dalam kalangan pemain tempatan di saingan Liga Malaysia musim ini.
Berdasarkan tinjauan di laman Transfermarkt, nilai terbaharu pemain berusia 20 tahun tersebut adalah €400,000 atau RM1.84 juta.
Menerusi laman Facebook Pecinta Bola Sepak Malaysia, penyokong berkongsi bahawa nilai terbaharu Arif dalam pasaran menunjukkan peningkatan sebanyak 67 peratus dalam tempoh setahun.
Sebelum ini, pada Oktober 2021, Arif dinilai pada tanda harga €150,000 atau bersamaan dengan RM689,962.
Nilai tersebut kemudiannya meningkat 50 peratus pada Mei lalu apabila pemain sayap kanan itu dinilai pada tanda harga €300,000 atau bersamaan dengan RM1.38 juta.
Penilaian terbaru oleh Transfermarkt ini bermakna Arif kini adalah pemain ketiga paling bernilai di dalam skuad JDT di belakang Fernando Forestieri (€850,000 (RM3.9 juta) )dan Bergson da Silva (€500,000 (RM2.29 juta)).
Rata- rata peminat pemain kelahiran Pahang itu turut memuji keupayaan dan kelebihan yang ada terhadap pemain itu dan turut menasihatkan agar tidak lupa diri.
“Ini satu perkembangan positif terhadap pemain kebangsaan, aku ucapkan tahniah kepada Arif. Ingat jangan sesekali sombong dengan apa yang kita ada,” jelas Nazim Fakri.
“Awak masih muda, banyak peluang dan kejayaan yang akan awak dapat nanti, ingat rasuah dan wanita perosak bola sepak, ingat tu,” kata Faiz Ismail. – KOSMO! ONLINE.