PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut tropika kuat mengenai Taufan Nesat pada hari ini.
Berdasarkan pemerhatian pada pukul 2 petang tadi, taufan tersebut berada di Latitud 17.0 Utara dan Longitud 110.2 Timur, kira-kira 169 kilometer (km) ke Tenggara Hainan, China.
“Pergerakan taufan tersebut bergerak ke arah Barat Daya dengan kelajuan 15 kilometer sejam (km/j) dan kelajuan angin maksimum adalah 83 km/j,” ujarnya.
Dalam satu kenyataan, MetMalaysia menyatakan bahawa jarak Taufan Nesat dari bandar terdekat kira-kira 1336 km ke Barat Laut Kudat.
“Keadaan ini menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE