PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan seorang wanita tempatan dan merampas 600 unit alat teknologi penstriman pelbagai jenama di sebuah premis di Skudai, Johor baru-baru ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal dilakukan pihak KPDNHEP selama beberapa hari sebelum tindakan diambil.
Katanya, serbuan itu melibatkan sebuah premis perniagaan terletak di Jalan Mutiara, Skudai, Johor yang menjual alat teknologi penstriman (android box).
“Hasil serbuan ke atas premis terbabit, kami merampas 600 unit alat teknologi penstriman pelbagai jenama berserta dokumen berkaitan disyaki mengandungi karya hak cipta dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM404,500.
“Pasukan serbuan juga menahan seorang wanita tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azman berkata, suspek disiasat kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
“Semua peniaga dinasihatkan tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini yang mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya tanpa kebenaran,” katanya.
Pada masa sama, katanya, KPDNHEP turut menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang berkuatkuasa 18 Mac lalu sekali gus memberi penekanan dalam usaha membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital dengan lebih berkesan.
Jelasnya, penguatkuasaan serta pemantauan berterusan dan tegas akan dilakukan kerana alat teknologi penstriman itu berupaya melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi. – KOSMO! ONLINE