PETALING JAYA – 30 peratus daripada rakyat Malaysia dalam usia perancangan kewangan yang matang menyatakan tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan peribadi, berdasarkan bertajuk tinjauan ‘Impak Pandemik Terhadap Perlindungan’ yang dilaksanakan Zurich Malaysia.
Kaji selidik yang dibuat pada penghujung tahun 2021 itu melibatkan 1,201 responden seluruh negara.
Zurich Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini berkata, tinjauan berkenaan mendapati di sebalik ketiadaan tindakan dalam mendapatkan perlindungan peribadi, faktor utama adalah tanggapan salah serta kekurangan maklumat dan pemahaman.
“Responden berumur antara 25 hingga 40 tahun merasakan perlindungan yang disediakan majikan adalah mencukupi (21 peratus) dan perlindungan insurans atau takaful bukanlah satu keperluan (14 peratus).
“Persepsi buruk tentang insurans/takaful (sembilan peratus) juga tidak membantu meyakinkan mereka untuk melabur untuk masa depan mereka sendiri,” katanya.
Zurich Malaysia menambah, walaupun terdapat pelbagai inisiatif yang dilakukan penyedia insurans dan takaful, 22 peratus responden menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang insurans dan takaful.
“Hasil tinjauan ini memperlihatkan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh ejen insurans dan penasihat takaful dalam berkongsi maklumat kepada masyarakat.
“Ini adalah penting untuk meningkatkan kadar penembusan insurans dan takaful serta mengurangkan jurang perlindungan demi kehidupan yang lebih mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE