fbpx

Seorang parah, tiga cedera kemalangan empat kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan salah satu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Ayer Tawar, Sitiawan semalam. - Foto MEDIA SOSIAL

LUMUT – Empat cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan dengan dua daripada kenderaan itu terbabas dan merempuh dua gerai buah-buahan di Ayer Tawar dekat sini tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 tengah hari di Simpang Taman Seri Sentosa, Kilometer 1 Jalan Ayer Tawar – Sitiawan itu, seorang penjaja buah–buahan berumur 43 tahun cedera parah di tangan kanan, manakala dua pemandu kereta berumur 37 dan 54 tahun serta seorang pejalan kaki berumur 55 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata kesemua mangsa rakyat tempatan dan menerima rawatan di Hospital Seri Manjung dan pihaknya mengesan kes itu tular dalam media sosial petang semalam.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila pemandu kereta jenis Proton Persona dari Taman Sentosa hendak ke Taman Dinding cuba mengubah haluan dari kiri ke lorong kanan dengan memotong kereta jenis Toyota Vios yang berada di hadapannya.

“Ketika cuba memotong itu, Proton Persona bergesel dengan kereta jenis Nissan X-Trail yang datang dari arah belakang di lorong kanan lantas melanggar pula Honda CRV yang sedang keluar dari simpang kiri Taman Seri Sentosa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau lagi, akibat daripada pergeselan itu, pemandu Nissan X-Trail gagal mengawal kenderaan lalu melanggar Toyota Vios.

Jelasnya, kedua–dua kenderaan itu kemudian berpusing dan melanggar dua gerai buah–buahan yang berada di bahu kiri jalan dan turut melanggar seorang penjaja dan seorang pejalan kaki yang berada di situ.

Beliau memaklumkan , kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10,000 serta boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI