PETALING JAYA – Industri media dijangka terus berdepan laluan mencabar, ketika pertumbuhan memberangsangkan dalam perbelanjaan pengiklanan (adex) tahun ini dilihat terus dibelenggu dengan peningkatan kos operasi.
Penganalisis Kenanga Investment Bank Berhad, Ahmad Ramzani Ramli menerusi nota kajian yang diterbitkan semalam berkata, menuju ke hadapan, pihaknya menjangkakan pertumbuhan adex akan berterusan sehingga hujung tahun, disokong kempen pengiklanan untuk musim perayaan dan acara sukan berprofil tinggi, iaitu Piala Dunia 2022.
“Kami mengunjurkan pertumbuhan adex yang lebih perlahan tahun depan, memandangkan jangkaan kelembapan pasaran dan sentimen pengguna yang lebih lemah,” katanya.
Menurut Ahmad Ramzani, pihaknya mengunjurkan pertumbuhan adex sebanyak 10.9 peratus bagi tahun 2022.
Jelasnya, ia bakal dipacu oleh pertumbuhan berterusan media digital, yang merekodkan pertumbuhan 41.1 peratus tahun ke tahun setakat separuh tahun pertama 2022, selain kebangkitan semula segmen radio, yang mencatatkan pertumbuhan 21.7 peratus tahun ke tahun.
“Kami percaya media digital akan mengekalkan aliran menaik memandangkan pergerakan umum ke arah pengiklanan yang lebih bersepadu dan lebih bersasar.
“Adex radio turut memperlihatkan pertumbuhan kukuh seiring dengan pembukaan semula ekonomi, apabila ia menerima banyak manfaat setelah pemandu mula kembali ke jalan raya.
“Tevisyen siaran percuma dan surat khabar dijangka mampu mengekalkan tahap pertumbuhan semasa, dengan ramalan pertumbuhan setahun penuh masing-masing pada satu peratus dan dua peratus,” katanya. -KOSMO! ONLINE