fbpx

PRU15: Usulan calon PM adalah bebas, tidak dipengaruhi – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri.

KUALA LUMPUR – Keputusan 152 Bahagian UMNO yang mengemukakan usul Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10 adalah tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Menurut Ismail Sabri, setiap bahagian berkenaan mempunyai kebebasan dalam mengemukakan sebarang usul yang dibuat pada setiap kali mesyuarat bahagian diadakan.

“Setiap usul pencalonan Perdana Menteri ke-10 adalah keputusan semua bahagian. Bahagian bebas membuat sebarang usul.

“Ini pun berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang membuat keputusan dalam mesyuarat MT. Perkara sama diumumkan Presiden UMNO dalam perhimpunan agung luar biasa.

“Apa yang diputuskan bahagian adalah diputuskan juga oleh MT dan penekanan ini menunjukkan sokongan kepada keputusan MT dan pendirian Presiden,” katanya bagi mengulas dakwaan yang mengatakan usul bahagian UMNO mencalonkannya sebagai calon Perdana Menteri dibuat atas desakan pihak tertentu.

Ismail Sabri hadir ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini bagi merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kali Ke-43 sempena Konvesyen Kontraktor Melayu 3.0.

Terdahulu, usul menyokong keputusan MT UMNO yang menamakan Naib Presiden UMNO itu sebagai calon Perdana Menteri ke-10 dalam menghadapi PRU15, mendominasi sebahagian besar mesyuarat Bahagian UMNO baru-baru ini.

Ini termasuk UMNO Bahagian Padang Terap di Kedah; UMNO Bahagian Arau di Perlis dan UMNO Bahagian Tampin, Negeri Sembilan yang menyuarakan sokongan sepenuhnya terhadap Ismail Sabri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI