KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu memperuntukkan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM95 bilion merangkumi 7,615 projek pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut adalah yang tertinggi dalam sejarah selain membuktikan kerajaan sentiasa memberi fokus utama terhadap pembangunan infrastruktur.
“Pelbagai tuduhan dilemparkan kononnya DE yang besar ini akan menguntungkan pihak tertentu sahaja. Saya beri jaminan bahawa kontraktor tempatan yang berkelayakan akan mendapat peluang sebaiknya untuk membangunkan projek-projek pembangunan negara.
“Bajet 2023 turut menyediakan pelbagai inisiatif untuk golongan kontraktor seperti peruntukan RM500 juta khusus kepada kontraktor kelas G1 hingga G4, antaranya bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi jalan persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kali Ke-43 sempena Konvesyen Kontraktor Melayu 3.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Tambah Ismail Sabri, dalam menyokong kontraktor tempatan, kerajaan juga akan menyediakan pembiayaan jangka pendek kepada kontraktor bumiputera yang terlibat dalam bidang seperti elektrikal dan pembinaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE) dengan dana sebanyak RM20 juta. – KOSMO! ONLINE