KOTA BHARU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan sudah membantu seramai 864 individu yang menghadapi masalah kecacatan fizikal, hilang keupayaan dan bekas pesakit mental bagi mendapatkan semula pekerjaan menerusi Program Return to Work (RTW) Perkeso dalam tempoh lima tahun.
Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, jumlah itu dicatatkan bermula pada 2017 hingga September lalu yang melibatkan individu lelaki dan perempuan berusia antara 15 hingga 64 tahun.
Menurutnya, mereka yang layak bekerja akan disaring dan penempatan pekerjaan dilaksanakan berdasarkan kebolehan mengikut kesesuaian dengan kemahiran masing-masing.
“Individu yang layak itu merupakan pencarum Perkeso. Pada peringkat awal, pihak pengurusan akan membantu carian pekerjaan yang bersesuaian.
“Mereka juga akan menerima latihan vokasional dan keusahawanan secara percuma. Menerusi RTW Perkeso, kita bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk hospital,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Nora, majikan di Kelantan banyak membantu pesakit mental terutamanya untuk kembali bekerja untuk menjana pendapatan sendiri.
Mengulas lanjut, katanya, latar belakang bagi pesakit mental yang kembali bekerja akan disaring terlebih dahulu oleh pihak pengurus Perkeso dan doktor yang terlibat ketika Klinik RTW Perkeso dilaksanakan di hospital.
“Berdasarkan statistik sepanjang tahun lalu, seramai 164 individu yang cedera fizikal atau sakit mental sudah bekerja dengan majikan yang sama.
“Selain itu, ada pesakit yang dibantu untuk carian pekerjaan di premis perniagaan, pasar raya dan premis mencuci kenderaan,” katanya.
Menurut Nora, pelbagai program pemulihan komprehensif turut dilakukan untuk golongan cacat fizikal, hilang keupayaan dan bekas pesakit mental kembali ke alam pekerjaan dalam keadaan sihat selain selamat. – KOSMO! ONLINE