LIVERPOOL – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola jelas tidak mampu menyembunyikan kemarahannya terhadap pengadil perlawanan, Anthony Taylor kerana membatalkan jaringan Phil Foden ketika tewas 1-0 kepada Liverpool di Anfield, kelmarin.
Walaupun pada awalnya Taylor membenarkan jaringan itu, Guardiola jelas dihimpit kecewa apabila pegawai perlawanan itu merubah keputusannya selepas merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) dan mendapati Erling Haaland melakukan kesalahan kerana menarik Fabinho.
Bercakap selepas perlawanan, Guardiola nyata menjadikan kualiti pengadil sebagai penyebab kepada kekalahan sulung The Citizens musim ini.
“Ketika saya tiba di sini, saya katakan inilah Anfield. Pengadil ada bercakap dengan pembantu saya dan mereka mengatakan tiada kesalahan, malah perlawanan perlu diteruskan.
“Kami tewas kerana kami melakukan kesilapan ketika menentang pasukan terbaik, tetapi inilah realitinya,” katanya.
Pada perlawanan itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp turut terima tempias selepas dilayangkan kad merah kerana meluahkan rasa tidak puas hati selepas pembantu pengadil tidak melayan kekasaran Bernardo Silva ke atas Mohamed Salah.
“Pada akhirnya, kami tidak sepatutnya berada dalam situasi ini. Ia jelas kesalahan dan ia berlaku di depan penjaga garisan, namun ia tidak bertindak,” kata Klopp.
Kekalahan sulung City musim ini menyaksikan pendahulu liga, Arsenal berjaya menjarakkan diri dengan kedua-dua pasukan kini dipisahkan empat mata. – AGENSI