fbpx

PRU15: Onn Hafiz minta Muda henti politik tidak matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Onn Hafiz minta Muda henti politik tidak matang.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tuduhan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bahawa program anjuran mereka ‘diserang’ adalah satu tuduhan tidak berasas.

Onn Hafiz yang juga merupakan Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum Barisan Nasional (BN) Johor sehubungan itu meminta Muda khususnya Presiden mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bertanggungjawab.

Menurut beliau, tindakan tersebut membuktikan bahawa parti Muda dengan budaya politik tidak matang tidak dapat dipisahkan.

“Saya mengamati secara teliti apa yang dikatakan oleh Syed Saddiq dalam sebuah video yang tular semalam. Dalam ucapannya di Muar, beliau secara melulu tanpa usul periksa apatah lagi bukti dan saksi, memfitnah UMNO dan BN mencetuskan kekecohan di ceramah tersebut.

“Selaku Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum BN Johor, saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan melampau Syed Saddiq yang seolah-olah ingin memberikan imej buruk kepada UMNO dan BN.

“Malahan, tuduhan yang tidak berasas ini juga dinafikan oleh Ketua Pemuda UMNO Muar, saudara Mohd. Helmy Abd. Latif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kelmarin, Ceramah Mega Muda di Muar itu didakwa dicemari dengan insiden gangguan dan provokasi yang dibuat sekumpulan ‘mat rempit’ ketika Syed Saddiq berucap.

Bagaimana pun, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis yang berada di lokasi ceramah diadakan.

Ceramah tersebut kemudiannya diteruskan dengan Syed Saddiq memberi ucapan setelah keadaan kembali tenang.

Tambah Onn Hafiz, Ahli Parlimen Muar itu perlu bertanggungjawab atas tuduhan melulu dan provokasi demi menyemarakkan perasaan benci rakyat terhadap UMNO dan BN.

“Hentikan politik tidak matang. Saya mendesak beliau untuk meminta maaf kepada orang UMNO dan BN secara terbuka dengan kadar yang segera,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI