BRISBANE – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese membuat tinjauan di kawasan banjir di Victoria ketika perkhidmatan kecemasan memberi amaran bahawa paras air setinggi 12 meter diramal menenggelamkan ribuan kediaman di negeri berkenaan, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Albanese berkata, situasi banjir sangat menyayat hati semasa beliau melawat bandar Bendigo dan meninjau bandar Rochester dengan menaiki helikopter. Setakat ini, seorang lelaki berusia 71 tahun ditemui mati di halaman belakang rumahnya di Rochester.
“Menjelang akhir hari ini (kelmarin), lebih 100 anggota Pasukan Pertahanan Australia (ADF) akan berada di Victoria untuk bersiap sedia menghadapi ramalan banjir besar,” ujarnya.
Kakitangan ADF sedang membantu dalam usaha menyelamat, pemulihan dan menyediakan perlindungan daripada paras air yang dijangka meningkat dalam masa beberapa hari lagi.
Bercakap bersama Albanese, Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews berkata, sebanyak 355 jalan masih ditutup di Victoria akibat banjir, manakala sekitar 6,000 kediaman di sekitar bandar Mooroopna terputus bekalan elektrik.
“Terdapat cabaran besar di sana iaitu jumlah air dan paras air yang tinggi,” kata Andrews.
Amaran kecemasan berkuat kuasa di bandar Shepparton, utara Victoria dan kawasan sekitarnya termasuk amaran ‘terlalu lambat untuk keluar’ kepada penduduk.
Paras air di kawasan itu dijangka meningkat kepada 12.2 meter dengan banjir diramal menenggelamkan lebih 7,000 kediaman, kata Tim Wiebusch dari Perkhidmatan Kecemasan Negeri Victoria.
Cuaca tidak menentu melanda Australia termasuk hujan lebat luar biasa disebabkan oleh fenomena La Niña yang mengakibatkan air sungai melimpah dan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal. – Agensi