BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang lelaki mengalami detik memalukan apabila lamarannya ditolak oleh gadis pilihan di hadapan beribu-ribu penonton di sebuah stadium hoki ais di New York, lapor laman berita Indy 100 semalam.
Insiden berlaku semasa perlawanan Liga Hoki Kebangsaan (NHL) antara pasukan New York Islanders dan Florida Panthers, Jumaat lalu.
Dalam video tersebut, seorang lelaki tidak berbaju dilihat melutut di hadapan teman wanitanya di barisan tempat duduk penonton.
Penonton lain yang menyaksikan kejadian itu menjerit “Just say no (katakan tidak),” secara berseloroh dan tidak bermaksud supaya wanita tersebut menolak lamaran yang diterima.
Sorakan mereka bagaimanapun menjadi kenyataan apabila wanita berkenaan bangun dari tempat duduk dan pergi ke arah lelaki itu sambil berbisik sesuatu kepadanya.
Tidak lama selepas itu, wanita tersebut berlari ke barisan tempat duduk paling atas dan membiarkan lelaki itu terpinga-pinga, sebelum duduk semula untuk menonton perlawanan.
Insiden itu turut mendapat perhatian wartawan NHL, Dan Rosen yang memuat naik ciapan di laman Twitter bagi menceritakan kejadian tersebut.
“Seorang lelaki membuka baju dan pada dadanya tertulis perkataan bermaksud: ‘Tolong katakan ya, ya, ya.’
“Dia melutut dan melamar. Saya dapat melihat mereka berdua dari bilik media. Gadis tersebut bangun dan pergi dari situ, kemudian, pasukan Panthers menjaringkan gol,” kata Rosen.
Video tersebut menjadi tular dengan ada netizen yang mendakwa bahawa kejadaian itu telah dirancang.
“Saya sering merasakan video seperti ini sebenarnya dirancang. Siapa yang berani mengajak seseorang berkahwin jika mereka tidak pasti sama ada individu tersebut akan bersetuju. Namun, sekiranya ia kejadian sebenar, ia amat menyedihkan untuk ditonton,” kata seorang pengacara televisyen, Keith Irizarry. – Agensi