LONDON – Seorang lelaki di Britain mendedahkan dia mencabut giginya sendiri menggunakan playar selama 10 tahun lalu kerana sukar mendapatkan temu janji doktor gigi, lapor laman berita Oddity Central semalam.
David Sergeant, yang merupakan bekas penjual daging dari Leeds mendakwa melakukan prosedur itu secara sendiri menggunakan tangan kosong bagi mencabut giginya yang sakit.
Lelaki berusia 50 tahun itu berkata, keadaan kewangannya membuatkan dia sukar mendapatkan rawatan dari klinik swasta, justeru, dia cuba membuat temu janji dengan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Dia bagaimanapun perlu menunggu lama untuk berjumpa dengan doktor gigi, yang membuatkan Sergeant terpaksa mencabut giginya sendiri bagi tempoh 10 tahun lalu.
“Saya tidak dapat membuat temu janji dengan doktor gigi selama 10 atau 15 tahun. Saya telah cuba mendapatkan surat rujukan daripada doktor namun ia masih tidak berhasil.
“Saya menunggu sehingga gigi menjadi longgar sebelum cuba melonggarkannya lagi dan mencabutnya. Sebelum ini saya menggunakan playar bersaiz besar, namun kebanyakan masa saya hanya menggunakan jari (untuk mencabut gigi),” katanya.
Tambah Sergeant, dia berjaya mencabut giginya yang sakit dengan bantuan sedikit alkohol dan beberapa pil tahan sakit.
“Ia bukan satu perasaan yang bagus. Saya perlu mencabut gigi sendiri ketika saya sepatutnya dijaga oleh seseorang,” katanya. – Agensi