PUTRAJAYA – Seorang lelaki bergelar Datuk yang juga merupakan ketua jabatan di sebuah agensi kerajaan direman empat hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa pada 2017.
Menurut sumber, suspek berusia 40-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 8 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.
“Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan suspek direman empat hari sehingga 21 Oktober ini selepas permohonan dikemukakan oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
“Suspek bergelar Datuk itu dipercayai telah menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan pemerolehan empat buah kenderaan pada tahun 2017,” katanya hari ini.
Jelas beliau, perolehan empat buah kenderaan yang berjumlah lebih RM290,000 itu bertujuan untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi tersebut.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.- KOSMO! ONLINE