KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan untuk meningkatkan harga projek rumah rakyat bagi memastikan kumpulan kontraktor yang mengendalikannya tidak dibebani dengan kenaikan kos bahan binaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, malah langkah itu bertujuan memastikan kewujudan margin agar kontraktor terlibat memperoleh sedikit keuntungan.
Jelasnya, peruntukan tambahan yang disediakan itu melibatkan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kediaman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Harga projek rumah DBKL ketika dahulu tidak silap saya berharga RM55,000 dan kini dipertingkatkan kepada RM68,000.
“Kita (kerajaan) faham jika dengan harga lama, ramai (kontraktor) pulangkan balik projek itu kerana tidak mampu. Harga rendah sangat, tidak untung, kadang-kala boleh jadi rugi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis selepasperasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kali Ke-43 sempena Konvensyen Kontraktor Melayu 3.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan program pemutihan pekerja asing telah dilaksanakan dengan mereka boleh meneruskan permit kerja jika mahu berbuat demikian selepas tamat tempoh.
“Sebanyak 1.3 juta pekerja asing terlibat dalam program berkenaan dan percaya jumlah itu telah bertambah sehingga 1.6 juta.
“Langkah ini juga sebagai usaha kerajaan membantu para kontraktor yang kekurangan pekerja, bagaimanapun kita tetap mengutamakan pekerja tempatan untuk melibatkan diri dalam sektor pembinaan di negara,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu kerajaan hari ini perlu kembali mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan Bajet 2023 dibentangkan kembali dan diluluskan.
Katanya, bajet memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat itu perlu diteruskan selepas pilihan raya supaya ianya dapat dilaksanakan.
“Draf dan pembentangan Bajet 2023 ini dirangka oleh saya dan Menteri Kewangan.
“Kalau orang lain ambil alih, mereka tidak tahu mereka hendak buat. Tetapi jika saya diberikan peluang untuk membentuk kerajaan selepas ini, Insya-Allah bajet terbesar dalam sejarah akan dibentangkan dan diluluskan semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE