BATU PAHAT – Kerajaan negeri Johor akan membuka peluang kerja lebih banyak bagi mengelakkan anak-anak muda merantau ke luar untuk mendapatkan pekerjaan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ianya selaras dengan sasaran menjadi negeri maju menjelang tahun 2030 nanti.
Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk swasta untuk mewujudkan peluang pekerjaan meliputi semua sektor termasuk teknologi.
“Perkara yang paling merisaukan kami (kerajaan negeri) untuk mencapai negeri maju adalah tenaga kerja berkemahiran, di mana kita akan penuhkan kelompongan berkenaan menggunakan anak-anak muda di negeri ini.
“Anak muda jangan kemana-mana lagi dah lepas ni..duduk sahaja di Johor kerana peluang kerja akan kami wujudkan. Sama-samalah kita kerajaan, pihak swasta dan anak muda serta semua pihak untuk memajukan Johor,” katanya dalam ucapannya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-30 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Makmal Kecerdasan Buatan Kebangsaan (Makmal AI) di UTHM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Hadir sama dalam program yang diadakan di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM adalah Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.
Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, berhubung dengan Makmal AI, ia adalah kerjasama antara UTHM, UTM, Huawei dan TM bagi menggalakkan pembangunan bakat digital universiti di Malaysia.
Menurut Ruzairi, pihaknya berbangga apabila UTHM dan UTM dipilih untuk menerajui penubuhan Makmal AI bagi universiti awam di negara ini dengan mendigitalkan operasi kedua-dua universiti.
“Di UTHM khususnya, dengan adanya Makmal AI ini kelak, sesi pengajaran dan pembelajaran serta pentadbiran universiti ini akan dapat dilaksanakan secara digital sepenuhnya, di mana sekarang ini dilaksanakan secara hibrid (gabungan digital dan manual),” katanya – KOSMO! ONLINE