PETALING JAYA – Seorang pencuci kenderaan terkejut apabila menemui ratusan ulat sampah di bawah alas kaki sebuah kereta yang dipercayai berpunca daripada telur busuk yang pecah.
Video mengenai kejadian itu dikongsikan @AzwanCarwash di laman TikTok.
Dia memberitahu, pemilik kenderaan itu hanya membersihkan bahagian atas tempat duduk sahaja tanpa membuka alas bahagian bawah.
“Pemilik kata dia hidu bau busuk daripada keretanya sejak tiga hari lalu hingga memaksanya menghantar ke kedai.
“Buka ‘seat’ saja, terus termpak dua ke tiga ekor ulat. Selak alas kaki nampak segerombolan ulat seperti sedang membiak.
“Kereta berbau busuk, hanyir dan menurut pemilik kereta, telur ayam pecah jadi punca,” jelasnya.
Rata-rata netizen meluahkan rasa jijik dan geli dengan bilangan ulat yang agak banyak itu.
“Kalau makan dalam kereta sekalipun, selepas makan, basuhlah, ‘vaccum’. Takkan jadi macam ni sekali, teruk sangat,” kata pengguna @xueraixora.
Terdapat juga individu yang mengusik dan menjadikannya sebagai bahan jenaka.
“Tak mengapalah ulat. Ambik saja kereta ini. Nah kunci, selamat berjalan-jalan dengan keluarga,” komen pengguna @yummyyumsbynatsha. – KOSMO! ONLINE