SHAH ALAM – Silibus pendidikan yang digunakan ketika ini sehingga menerima kritikan pelbagai pihak bukan baharu dicipta sebaliknya telah dimulakan sejak 2017.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, ia juga bukan silibus miliknya sebaliknya telah melalui pelbagai proses dan menerima pandangan daripada para guru dan mereka yang berkebolehan dalam bidang-bidang tertentu.
Katanya, silibus ini tidak boleh ditukar setiap tahun yang akan menyukarkan semua lapisan termasuk guru.
“Ini bukan silibus Radzi Jidin. Pembinaan silibus mengambil masa dan pelbagai proses.
“Bagi sekolah rendah, kohort pertamanya bagi murid pada tahun 2017 akan tamat pada tahun ini manakala kohort sekolah menengah telah berakhir tahun lalu.
“Disebabkan itu, saya sudah banyak kali menyebut kita menerima pandangan semua pihak berkaitan silibus ini kerana baharu untuk digunakan pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif reading progress di sekolah Kementerian Pendidikan (KPM), hari ini.
Jelas beliau, ada pandangan diterima ketika ini sudah ada undi18 dan sama ada cukup dalam silibus sedia ada mengenai kesedaran politik.
Bagaimanapun, Radzi menegaskan apa yang menjadi isu pendidikan ini dijadikan bahan politik semasa Pilihan Raya Umum.
“(Mereka) tiada kerja lain dengan kerjanya bab politik sahaja termasuk mempolitikkan dalam konteks silibus.
“Saya di sini mempertahankan apa yang telah dibina dan siap pada tempoh sekian lama. Kalau hendak berpolitik mudah kerana silibus ini dimulakan pada tahun 2017, jadi zaman Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menggunakan silibus sama.
Justeru, beliau berkata, pendidikan perlu dijauhkan daripada politik dan kita lakukan dengan keikhlasan serta kejujuran dalam membentuk kerjasama dalam melakukan yang baik dalam sistem pendidikan ini.
“Ini tidak kira sama ada guru, pemimpin pendidikan dan masyarakat, ibu bapa dan generasi muda mahu melihat sistem pendidikan kita jauh lebih baik. Itu juga yang kita (Kementerian Pendidikan) ingin lakukan,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE