JAKARTA – Stadium bola sepak Indonesia di mana 133 orang terbunuh dalam tragedi rempuhan awal bulan ini akan dirobohkan dan dibina semula kata Presiden Joko Widodo (Jokowi) hari ini.
“Berkenaan Stadium Kanjuruhan di Malang, kita akan merobohkan dan membinanya semula berdasarkan standard FIFA,” kata Jokowi kepada pemberita selepas bertemu Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Lebih 40 kanak-kanak menjadi mangsa yang terbunuh selepas insiden di bandar Malang, wilayah Jawa Timur itu pada 1 Oktober lalu dalam apa yang disifatkan Infantino sebagai ‘hari antara paling malang dalam dunia bola sepak.’
Selepas penyokong memasuki padang pada akhir perlawanan antara Arema FC dan seterunya, Persebaya Surabaya, pasukan polis menembak gas pemedih mata ke arah penonton yang mencetuskan insiden rempuhan.
Jokowi berkata, stadium itu akan digantikan dengan stadium baharu yang memiliki kemudahan sewajarnya bagi memastikan keselamatan kedua-dua pemain serta penyokong.
Bercakap pada hari sama, Infantino berkata, FIFA akan membantu dalam perubahan dan transformasi bola sepak Indonesia.
“Saya boleh memberi jaminan kepada rakyat Indonesia bahawa FIFA ada bersama anda. FIFA ada di sini untuk bekerja dalam perkongsian rapat dengan pemerintah, Persekutuan Bola Sepak Asia dan negara Indonesia,” katanya.
Pintu masuk Stadium Kanjuruhan yang mempunyai kapasiti 42,000 orang dan dibuka pada tahun 2004 itu hanya cukup untuk memuatkan dua orang pada sesuatu masa dan tidak dibuka ketika insiden berlaku. – AFP