Kita berada di zaman kamera ada di mana-mana sahaja baik kamera papan pemuka atau dashcam, telefon pintar atau kamera televisyen litar tertutup (CCTV) untuk merakam setiap tindak tanduk kita.
Kamera tidak dapat dinafikan mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam merekodkan pelbagai situasi mahupun percutian yang menggembirakan hinggalah ke kejadian jenayah yang mengerikan.
Boleh dikatakan setiap individu kini mempunyai alatan tersebut untuk merekodkan sesiapa sahaja atau kejadian apa yang menarik bagi mereka untuk dikongsikan kepada umum.
Terdetik pula kisah kecoh seorang penjual nasi lemak yang dirakam menunjukkan perangai jelik yang memaki hamun pesaingnya yang menjual menu sama di seberang jalan gerai miliknya.
Menerusi video dimuat naik Skyullah, memaparkan kejadian tersebut dipercayai berlaku di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Insiden itu dikatakan bertambah ‘panas’ apabila mendengar perkataan diucapkan wanita itu yang disifatkan seperti sombong.
“Esok saya tak nak tengok nasi lemak ada di sini. DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dah beritahukan?” kata wanita tersebut.
Pendapat penulis, adab berbincang perlu ada, tidak semestinya peniaga seorang warga emas atau lebih senior, ada hak untuk meninggikan suara dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada peniaga yang lebih junior.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak tidak dapat berniaga di lokasi yang sama selepas mendapat perhatian daripada DBKL, tiada situasi menang-menang wujud, malah kedua-duanya kalah.
Tidak lupa juga, turut tular rakaman kes dua pemandu yang menjerit-jerit, bergaduh tidak berpuas hati dengan cara pemanduan masing-masing di tepi Jalan Usahawan 6, Setapak, Kuala Lumpur, baru baru ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashaari Abu Samah berkata, semakan polis mendapati kejadian berlaku pada 12 Oktober lalu, berpunca perselisihan faham kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan masing-masing.
“Sehubungan itu, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar sentiasa mengawal emosi serta sentiasa bersabar jika berlaku perselisihan faham di jalan raya untuk mengelakkan berlakunya perkara yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Pendapat penulis di sini, pasti ada jalan penyelesaian yang lebih baik daripada menonjolkan perbuatan buruk yang akan dirakam tanpa kita ketahui dan ini akan lebih mudah tular apabila yang dirakamkan itu adalah peribadi buruk individu terbabit.
Ekoran itu, bertindaklah dengan sebaik mungkin demi menjaga maruah diri dan keluarga apabila berada di tempat awam atau berada di mana-mana sahaja kerana tanpa kita sedar bila bila masa sahaja boleh berada di dalam internet.
Dengan kata mudahnya, berfikir dahulu sebelum bertindak lebih-lebih lagi di tempat awam.