fbpx

Air yang dicincang takkan putus – Chef Wan, Shikin Maembong berdamai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PETALING JAYA – Tidak sampai setahun selepas gempar dengan isu pergaduhan sesama sendiri sekitar Februari lalu, Chef Wan dan bekas menantunya, Shikin Maembong kini bertemu jalan damai.

Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, 64, menerusi Instagramnya memutuskan untuk melupakan persengketaan lama demi membina kehidupan yang lebih berkualiti.

“Air yang dicincang tidak akan putus. Kami masing-masing sudah dewasa jadi, kami mengambil keputusan untuk berbaik semula.

“Saya juga sedar, tidak baik untuk putuskan silaturrahim tambahan pula ini hanyalah isu kecil,” jelas cef selebriti itu dalam kapsyen sekeping gambar bersama bekas menantunya yang juga kakak, Emma Maembong itu dan cucunya.

Menurut Chef Wan, dalam apa keadaan sekali pun, ikatan keluarga ternyata sangat kuat sehingga sanggup mengetepikan ego masing-masing sekali gus mengambil pendekatan saling bermaaf-maafan.

Bagi Chef Wan, tidak elok untuk panjangkan isu tersebut memandangkan Shikin merupakan ibu yang hebat buat cucunya, Putri Arriana Natasha,7.

“Tiada guna kalau menyimpan perasaan marah, benci, dan dendam,” kata Chef Wan.

Dalam pada itu, Chef Wan juga enggan membazirkan wang dan tenaga untuk membayar peguam berkenaan isu pergaduhan yang disifatkannya sebagai remeh.

“Daripada membuang duit untuk saman menyaman, adalah lebih baik jika saya gunakan wang tersebut ke arah kebaikan dan pelajaran Arriana pada masa hadapan.

“Kalau untuk kebajikan lain pun saya boleh bantu, apatah lagi cucu sendiri. Sebagai seorang datuk, saya akan buat yang terbaik buat keluarga saya termasuklah bekas menantu,” ujarnya bernada positif.

Difahamkan, Shikin merupakan antara jemputan yang menyerikan majlis sambutan hari jadi ibu Chef Wan, Noraini Abdullah ke-90. Menerusi perjumpaan tersebut, hubungan mereka kembali jernih sekali gus menamatkan sengketa yang berlaku sebelum ini.

Shikin merupakan bekas isteri Chef Riz, mereka berkahwin pada 2014 dan bercerai pada 2016.

Terdahulu, Chef Wan menegur Shikin Maembong secara terbuka mengenai pertelingkahan bersama bekas suaminya, Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuwan berhubung soal anak mereka sehingga Shikin pernah menghantar surat saman terhadap Chef Wan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI