KOTA TINGGI – Sebanyak 65 kawasan hotspot bencana banjir dikesan di daerah ini yang melibatkan 53 kawasan kampung, 10 kawasan taman perumahan dan dua kawasan Felda.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata sebagai persediaan berdepan bencana itu juga terdapat sebanyak 64 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh menempatkan lebih kurang 5,000 orang penduduk telah disediakan.
Menurutnya di daerah Kota Tinggi mempunyai kekuatan petugas seramai 447 orang melibatkan pegawai dan kakitangan dari pelbagai agensi yang boleh digerakkan sekiranya bencana itu.
“Bagi menghadapi bencana banjir mahupun Monsun Timur Laut yang dijangkakan pada penghujung tahun ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi telah beberapa kali mengadakan mesyuarat penyelarasan di peringkat daerah.
“Mesyuarat ini adalah bertujuan untuk memastikan agensi-agensi berkaitan melaksanakan projek-projek yang boleh mengurangkan risiko banjir seperti pembersihan sungai, longkang secara berkala.
“Kita juga telah membuat persiapan dari segi aset dan logistik agensi-agensi yang melibatkan sebanyak 140 unit pengangkutan pelbagai guna agar dalam keadaan baik sekiranya diperlukan semasa bencana banjir berlaku,” katanya selepas hadir Program Bantuan Bencana Petronas di Dewan Taman Kota Jaya disini hari ini.
Terdahulu, pada majlis itu sebanyak empat buah bot dilengkapi enjin, tangki bahan api, serta kelengkapan bot yang lain, 500 khemah perlindungan mangsa banjir, 250 jaket keselamatan dan 2,500 baju hujan telah disumbangkan Petronas kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melalui Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di negeri ini. – KOSMO! ONLINE