fbpx

Verstappen belum sehebat Schumacher, Hamilton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RALF menegaskan terlalu awal untuk meramalkan apa yang bakal Verstappen raih pada kariernya, namun untuk merekodkan tujuh kejuaraan dunia F1 seperti Schumacher, Hamilton tidak semudah disangka. – AFP

LONDON – Juara dunia Formula Satu (F1) musim ini, Max Verstappen masih belum layak dilabelkan pelumba elit yang berpeluang untuk memecahkan rekod kejuaraan dunia terba­nyak dalam sejarah milik Michael Schumacher dan Lewis Hamilton.

Pandangan tersebut disuarakan oleh bekas pelumba pasukan Williams yang juga adik kepada Michael, Ralf Schumacher selepas menyaksikan Verstappen sah mempertahankan ­kejuaraan dunia pada Grand Prix (GP) Jepun awal bulan ini.

Kata Ralf, masih terlalu awal meramalkan apa yang bakal Verstappen raih tetapi untuk merekodkan tujuh kejuaraan dunia seperti yang dilakukan oleh Michael dan Hamilton tidak semudah yang disangka.

“Meskipun baru berusia 25 tahun, saya tidak nampak Verstappen boleh memecahkan rekod Michael dan Hamilton pada masa akan datang. Dalam masa yang sama, saya pasti dia juga fokus daripada saingan musim ke musim dan tidak fikirkan tentang rekod tersebut.

“Secara jujur, tiada siapa boleh menyangkal skil dan bakat yang dimiliki oleh Verstappen selain hubungan baiknya dengan pihak pengurusan serta rakan sepasukan, Sergio Perez banyak membantu kemenangannya di atas litar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ralf turut melihat peningkatan yang dipamerkan oleh Mick Schumacher pada musim ini dan berharap anak buahnya dapat dikekalkan pada saingan musim depan selepas kontrak bersama Haas berakhir tahun ini.

“Saya harap Mick dapat kekal bersaing di arena F1 musim depan kerana dia menunjukkan peningkatan positif. Namun, saya faham segalanya bergantung dengan bajet Haas,” kata bekas pelumba kelahiran Jerman itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI