PETALING JAYA – Industri p-hailing kini dilihat berada pada fasa ‘matang’ dan sedang mengalami penurunan ekoran timbul pelbagai isu temasuklah lambakan rider, pembayaran upah yang rendah serta persaingan tinggi dalam mendapat pesanan.
Pensyarah Senior Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Noh berkata, industri p-hailing mempunyai sebuah kitaran yang mana ekonomi gig sedang menjadi tumpuan utama golongan pencari kerja.
“Apabila ramai yang melibatkan diri, industri ini akan berada pada fasa matang dan sedang mengalami penurunan sehingga menjejaskan pendapatan kumpulan penghantar makanan.
“Beberapa pemain industri baharu iaitu syarikat besar dilaporkan ingin memasuki pasaran Malaysia, tetapi pada masa sama, kita ada lambakan rider.
“Untuk menjadi seorang penghantar makanan hanya memerlukan kos yang sangat minimum dan faktor ini juga mendorong lambakan penghantar makanan dalam industri ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berita berkaitan: 10,000 rider p-hailing terjejas, penghantaran jauh bayaran ciput
Dalam mengatasi isu itu, beliau menyarankan agar perkhidmatan penghantar makanan dan barangan digabungkan.
“Langkah ini akan lebih bersifat lokalistik dan domestik. Mereka yang menjadi penghantar juga akan berpeluang mendapat lebih banyak kerja.
“Sebenarnya pemain industri penghantaran makanan melibatkan syarikat besar sangat sedikit dan sebagai alternatif, rider juga boleh bekerja dengan beberapa syarikat pengendali lain untuk menjana pendapatan,” ujarnya.
Berita berkaitan: Upah makin kurang, kena ‘sidai’ yang lama
Penganalisis ekonomi, Dr. Baayah Baba pula melihat isu lambakan penghantar makanan p-hailing adalah satu kebiasaan dalam industri gig.
“Ia disifatkan sebagai persaingan yang kompetitif dan tidak menjadi satu permasalahan kerana pendapatan mereka berdasarkan usaha mereka sendiri.
“Jika permintaan tinggi, maka perkhidmatan untuk rider juga akan meningkat,” katanya.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan, rata-rata penghantar makanan kini mengeluh apabila hanya memperoleh RM50 untuk 12 jam bekerja berbanding mencecah RM6,000 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia berpunca kerana pengguna kini lebih suka membeli makanan sendiri berbanding membuat pesanan di platform online selain sikap penyedia makanan yang lambat memproses tempahan menyebabkan ramai rider kena ‘sidai’.