SAUDARA PENGARANG,
Pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah menjadi sejarah.
Tumpuan Malaysia kini beralih kepada calon yang akan bertanding. Baik Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PH) bercita-cita untuk menang.
Semua bagai nak gila. Kemaruk hendak menjadi pemimpin tanpa menyedari mereka yang akan ditanya mengenai amanah yang diberikan di akhirat kelak.
Senang kita cakap supaya memilih pemimpin yang amanah tetapi bagaimana kita hendak percaya kewujudan mereka kerana cerita mengenai rasuah dan salah guna kuasa didengar hampir setiap hari.
Suasana politik kali ini sangat berbeza. Terlalu banyak ragam yang terjadi dalam satu penggal daripada pelantikan tiga perdana menteri, lompat parti, undi 18 dan sebagainya.
PH, BN, PN semua sudah merasa jadi pemerintah. Siapa yang kita lihat paling menjaga amanah?
Amanah mengungkapkan maksud yang amat luas. Bukan sekadar bersikap jujur, malah mencakupi setiap tanggungjawab.
Oleh sebab itu, semakin ramai pemimpin yang terlupa bahawa jawatan yang dipegang ialah satu amanah.
Semakin ramai yang melihat jawatan sebagai kedudukan untuk digunakan bagi kepentingan diri, keluarga dan kroni, lalu alpa kepada tanggungjawab sebenarnya.
Insaflah. Orang-orang teraniaya, dinafikan hak dan yang menderita memamah pahit kehidupan kerana perbuatan pecah amanah.
Semoga kita dapat memilih dengan bijaksana pemimpin yang benar-benar ikhlas, jujur, telus, amanah, bijak mentadbir negara.
Pasti mengundi,
Mohd. Yakop Ikram
Ipoh, Perak