TERINGAT penulis kisah ‘tragis’ beberapa tahun lalu apabila ada ibu bapa yang tidak mengaku anak, solat dua imam dalam satu kampung, jiran tetangga tidak bertegur sapa semuanya gara-gara pilihan raya.
Semua itu berlaku disebabkan terlalu ‘taksub’ dengan parti masing-masing sehingga sanggup melanggar hukum agama.
Bagi penulis, kejadian ini amat memalukan kerana hanya ‘orang kita’ yang berperangai sedemikian sedangkan bangsa lain tetap teguh bersatu padu walaupun mereka berbeza fahaman politik.
Kini, musim pilihan raya tiba lagi dan tidak mustahil perkara ini sekali lagi berlaku seiring dengan ‘perbalahan’ parti-parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Persoalannya, sampai bila masyarakat kita perlu berbalah dan berpecah setiap kali PRU?
Yang mendapat untung hanyalah Yang Berhormat (YB), kita rakyat marhaen hanya melopong dan jika ada pun tempias dapatlah ‘jamuan percuma’ oleh YB yang menang.
Berbaloikah kita bergaduh dan berpecah semasa pilihan raya sedangkan sanak saudara, jiran dan rakan sekampung kita juga akan mengali kubur apabila kita mati serta akan datang menolong apabila ada kenduri kendara.
Nak harapkan YB, entah-entah dia pun ‘hilang’ selepas dapat apa yang dia nak.
Jika ada pun ahli keluarga yang berbeza ‘bendera’ sewaktu pilihan raya hormatilah pendirian dan pilihan mereka. Jangan sebabkan perbezaan itu, kita putus silaturrahim sehingga institusi kekeluargaan juga turut runtuh.
Berpolitik biarlah matang, betul pilihan masing-masing, tetapi ikatan silaturrahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat sekeliling lebih penting daripada politik.
Orang politik akan datang dan pergi, tetapi ahli keluarga, sahabat handai, jiran dan masyarakat sekeliling kitalah sebenarnya yang lebih ‘setia’ serta sentiasa ada bila kita dalam kesusahan.
Dalam Islam juga turut menegaskan bahawa “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan).” (Hadis Riwayat Muslim).
Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah dia menyambungkan tali silaturahim.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Memetik perkongsian oleh Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, menyambung tali persaudaraan sesama Muslim menjadi satu kewajipan bagi setiap umat Islam.
Katanya, apabila tali kasih sayang bertaut, maka hubungan kekeluargaan, persaudaraan serta persahabatan dapat dibina dengan baik.
“Menjaga silaturahim adalah tanda-tanda seseorang itu beriman kepada Allah.
“Sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah ia menyambung hubungan silaturahim,” ujarnya.
Nasihat penulis, hentikan sengketa, perbalahan sesama sendiri dan buang mentaliti jumud dalam berpolitik, ingat yang untung hanya YB, kita masih tetap ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.