fbpx

PRU15: ‘Allah jadi saksi saya tidak merapu’ – Asyraf Wajdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiausaha Agung BN memuat naik gambar pertemuan antara pemimpin tertinggi UMNO dan Pas yang turut disertai Asyraf Wajdi.

PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak menipu berhubung pendedahannya mengenai Pas bersama Perikatan Nasional (PN) ekoran tawaran 47 kerusi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut beliau, ramai menjadi saksi bahawa dirinya tidak merapu apatah memungkiri sebarang janji untuk tidak mendedahkan gambar pertemuan antara pemimpin tertinggi UMNO dan Pas yang diadakan baru-baru ini.

“Allah menjadi saksi, ramai juga menjadi saksi bahawa saya tidak merapu dan tidak menipu, jauh sekali memungkiri sebarang janji. Berani kerana benar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini menyelar tindakan Asyraf Wajdi mendedahkan gambar pertemuan pemimpin tertinggi UMNO dan Pas tersebut di media sosial.

Tuan Ibrahim turut menafikan dakwaan Asyraf Wajdi bahawa Pas bersama PN ekoran tawaran 47 kerusi oleh Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pertemuan itu dihadiri oleh beliau bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Tak betul, dia merapu. Dia (Asyraf Wajdi) tak terlibat pun dalam mesyuarat itu. Bahkan, kita dah ingatkan agar tidak keluarkan gambar yang beliau ambil, sebab pertemuan tertutup,” kata Tuan Ibrahim.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam satu hantaran di Facebook malam ini memuat naik sekeping gambar pertemuan tersebut yang turut dihadiri Asyraf Wajdi.

“Dr Asyraf (Asyraf Wajdi) tidak merapu, tidak menipu,” kata Zambry.

Asyraf Wajdi beberapa hari lalu mendedahkan sekeping gambar pertemuan lapan mata antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti UMNO dan Pas pada Rabu minggu lalu.

Beliau dipetik sebagai berkata, gambar tersebut diambil sehari sebelum Pas membuat keputusan kekal bersama parti Bersatu dalam gagasan PN.

“Pas menegaskan bahawa jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada mereka.

“Namun bagi UMNO, perundingan untuk kembali mengukuhkan Muafakat Nasional kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi bagi menghadapi PRU15,” jelasnya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI