SEBAGAI sebuah kolej kediaman di universiti yang sinonim dengan pertanian, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (Kosass), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil inisiatif menjalankan Projek Gempur Tani (PGT).
Projek bermula pertengahan tahun lalu itu diwujudkan seiring dengan inspirasi pihak pengurusan UPM bagi menggalakkan pertanian pintar dalam kolej menerusi penglibatan para mahasiswa.
Projek pertanian tersebut juga diharap dapat membantu menyerlahkan lagi potensi terpendam mahasiswa seiring dengan program kolej, Pembangunan Belia Positif @ Kosass.
Pengetua Kosass, Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid Arshad berkata, PGT merupakan sebuah projek yang sejajar dengan matlamat universiti dalam memperkasa UPM sebagai Pusat Kecemerlangan Pertanian.
“Projek ini diharapkan mampu membantu melahirkan mahasiswa yang mempunyai ilmu asas pertanian sekali gus dapat memberi manfaat kepada negara pada masa akan datang.
“Pada masa sama, mahasiswa dapat meningkatkan potensi diri mereka dari aspek daya tahan, karakter dan menghapus rasa malu terlibat dalam sektor pertanian.
“Kebanyakan pelajar yang terlibat dalam projek ini bukan daripada bidang pertanian sahaja, malah merangkumi jurusan lain. Mereka ini melibatkan diri kerana minat mendalam terhadap pertanian,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.
Menurut Mohd. Mursyid, projek berkenaan bermula dengan modal permulaan RM500 hasil sumbangan pihak kolej bagi membeli anak benih pokok, baja serta membuat saliran air.
Jelasnya lagi, pihaknya memulakan PGT dengan penanaman sayuran seperti kangkung, sawi, bayam brazil, serai, ubi kayu dan bendi, sebelum diikuti kacang tanah dan cili pada fasa kedua tanaman.
“Kami telah berjaya memanfaatkan tanah seluas 30 meter persegi di sekitar kolej bagi menjalankan projek ini. Kami bermula dengan tanaman sayuran, sebelum beralih kepada kacang tanah dan cili kerana hasilnya lebih lumayan.
“Modal permulaan kami sangat rendah kerana dibantu oleh felo-felo yang mempunyai kemahiran dalam bidang pertanian. Penghuni kolej juga sentiasa bersedia menabur bakti bagi memastikan kejayaan projek ini,” ujarnya.
Menariknya, Kosass berjaya meraih pendapatan mencecah lebih RM10,000 hasil jualan produk pertanian di Pusat Pertanian Putra menerusi Putra Mart serta komunti kampus.
Sementara itu, Ketua PGT, Ong Khai Heo berkata, aktiviti tersebut dapat menghasilkan serta memperkukuh kumpulan tenaga kerja yang terlatih dan mahir dalam bidang pertanian.
Jelasnya, seramai 93 penghuni Kosass terlibat secara sukarela dalam PGT bermula daripada proses semaian anak benih, membaja sehingga tuaian serta jualan.
Dia menambah, bermula dengan kurang 10 orang, jumlah sukarelawan semakin bertambah selepas hasil tanaman pusingan pertama berjaya membuahkan hasil lumayan.
“Inisiatif bagi mengadakan aktiviti-aktiviti pertanian di kolej ini telah memberikan impak yang sangat memberangsangkan kepada mahasiswa terutama dalam aspek ilmu pertanian moden serta keusahawanan.
“Pada peringkat awal dahulu, jumlah mahasiswa yang terlibat tidak ramai, tetapi kini, jumlahnya hampir mencecah 100 orang. Kami harap dapat menambah lebih ramai sukarelawan pada semester baharu nanti,” katanya.