ROM – Sepasukan doktor di Itali menjalankan satu pembedahan otak yang rumit dengan membiarkan pesakit berada dalam keadaan sedar dan bermain alat muzik saksofon, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Menerusi satu kenyataan media, Hospital Antarabangsa Paideia berkata, pesakit dikenali sebagai G.Z yang berusia 35 tahun dibiarkan sedar semasa pembedahan yang bertujuan membuang ketumbuhan di otaknya.
Pembedahan itu berlangsung selama sembilan jam dengan pesakit mengakui dia tidak berasa takut, sebaliknya lebih tenang.
Doktor berkata, persembahan muzik itu membolehkan pakar bedah memetakan fungsi berbeza otak pesakit semasa pembedahan berlangsung.
“Pembedahan dalam keadaan sedar memungkinkan pemetaan fungsi otak dengan tepat berdasarkan rangkaian neuron yang mendasari pelbagai fungsi otak seperti bermain, bercakap, bergerak, mengingat dan mengira,” kata ketua pembedahan tersebut, Dr. Christian Brogna.
Apabila pesakit bermain saksofon ketika menjalani pembedahan, doktor boleh melihat bahagian mana pada otaknya yang berada dalam keadaan aktif ketika itu.
Pembedahan itu turut melibatkan penggunaan beberapa teknologi bagi membolehkan doktor membezakan antara sel kanser dan sel sihat.
Menurut, Brogna, pembedahan itu akhirnya berjaya dan pesakit berada dalam keadaan stabil. – Agensi