PETALING JAYA – Rata-rata pengguna pengangkutan awam meluahkan rasa kecewa terhadap sistem pengangkutan awam negara seperti Mass Rapid Transit (MRT) yang masih lemah dan lambat.
Menerusi hantaran di akaun Twitter @PointMHD kesal kepada RapidKL kerana terpaksa menunggu hampir 30 minit untuk tren seterusnya tiba sekali gus menyebabkan urusan kerjanya tergendala.
“Saya menyesal menaiki tren pagi ini, saya terfikir untuk memandu hari ini kerana saya ada mesyuarat pada pukul 10. Saya kira menaiki tren agak lebih memudahkan saya sampai dengan cepat namun ternyata sebaliknya,” ciap lelaki tersebut.
Susulan itu, hantaran tersebut telah mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut mengalami perkara yang sama dan meluahkan rasa kekesalan mereka terhadap sistem pengangkutan awam negara.
“Aku rasa Malaysia salah satu negara yang orang naik pengangkutan awam lagi lambat dan melecehkan daripada memandu tapi apa boleh buat, murah dan sesetengah orang tidak mempunyai pengangkutan,” balas seorang pengguna di ruangan komen.
“Lantas mereka masih bertanya mengapa segelintir rakyat Malaysia lebih suka memandu dan terperangkap dalam kesesekan lalu lintas kerana kita mempunyai sistem pengangkutan awam yang lemah dan tidak efisien,” ciap seorang pengguna lainnya.
Dalam pada itu, ada juga netizen yang menggesa agar pihak yang terlibat mengambil langkah yang sepatutnya agar perkara ini tidak terus menjadi isu yang membelenggu rakyat Malaysia.
“Dalam isu ini, pihak kerajaan harus memandang serius perkara macam ni, kena ada tindakan yang efisien supaya memudahkan rakyat dan tak terganggu dengan isu sama sahaja,” ciap pengguna lain. – KOSMO! ONLINE