MANCHESTER – Pasukan Manchester United gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas terikat seri tanpa jaringan bertemu Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Old Trafford itu, skuad kendalian Erik Ten Hag membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan pemain bertaraf bintang seperti Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes dan Antony untuk menguasai jentera serangan.
Namun, pasukan pelawat dilihat terlebih dahulu menguji kubu gawang menerusi percubaan Jacob Murphy dan Bruno Guimaires yang berjaya diselamatkan penjaga gol, David De Gea.
Penyerang The Magpies, Joelinton meraih peluang terbaik tetapi tandukan yang dilakukan pada minit ke-24 sekadar menggegar palang gol.
Bersambung pada babak kedua, The Red Devils menggandakan asakan dan berjaya melakukan percubaan awal menerusi ledakan Ronaldo tetapi sedikit tersasar.
Antony turut memiliki peluang terbaik pada minit ke-61 tetapi rembatan yang dilakukan berjaya diselamatkan penjaga gol Newcastle, Nick Pope.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi gaal melakukan sebarang percubaan tepat dengan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kedudukan tersebut menyaksikan United kini meraih 16 mata manakala Newcastle berada dibelakang dengan 15 mata. – KOSMO! ONLINE