KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri atas pertuduhan rasuah.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pasangan suami isteri itu menggunakan tatacara yang salah dari segi undang-undang ketika memfailkan permohonan semakan melalui notis usul.
Beliau menyatakan, permohonan melalui notis usul itu bertentangan dengan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Seksyen 325 dan 326 CPC dibaca bersama Seksyen 35 dan 36 CoJA memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil dan memeriksa mana-mana rekod prosiding.
“Tindakan pihak pembelaan memfailkan permohonan semakan melalui notis usul seolah-olah `memaksa’ mahkamah untuk mendengar permohonan semakan, walhal tindakan memanggil rekod prosiding adalah budi bicara mahkamah,” ujar Chin How.
Ujarnya, pihak pendakwaan akan memfailkan permohonan rasmi bantahan awal itu hari ini dan penghujahan bertulis dalam tempoh dua minggu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian menetapkan permohonan bantahan awal didengar pada 11 November ini.- KOSMO! ONLINE