BAU – Lima orang pendaki berdepan detik cemas terkandas di sebuah gunung ekoran hujan lebat dan cuaca gelap dalam kejadian di Gunung Bronang, di sini, semalam.
Kesemua ahli rombongan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita itu telah ditemui kira-kira tiga jam selepas panggilan kecemasan diterima pihak berkuasa pada pukul 6.50 petang.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam satu kenyataannya berkata, sejurus panggilan kecemasan diterima, bomba telah bergerak ke lokasi mangsa yang berada kira-kira lima kilometer untuk sampai ke tempat kejadian.
Katanya, kesemua mangsa masih dapat dihubungi melalui talian telefon meskipun berada di dalam hutan.
“Operasi menyelamatkan mangsa juga dibantu tiga penduduk kampung yang menjadi penunjuk arah ke lokasi air terjun dimana tempat lima orang mangsa itu terkandas.
“Hasil usaha pelbagai pihak, anggota bomba telah menemui kesemua mangsa pada pukul 10.09 malam dan seterusnya selamat membawa kesemua mangsa ke tapak pemula untuk diserahkan pada keluarga mangsa,” katanya.
Susulan itu, operasi yang melibatkan kekuatan anggota seramai lima orang itu berakhir dengan semua mangsa dalam keadaan selamat dan tamat sepenuhnya pada pukul 12.10 awal pagi tadi – KOSMO! ONLINE.