JEMPOL – Bermodalkan wang serendah RM900 pada awal pembabitan perniagaan untuk menjual minyak wangi dengan bauan premium mungkin agak tidak masuk akal jika difikirkan secara logik.
Tetapi siapa sangka, dengan jumlah modal serendah itu, secara berperingkat-peringkat, pengeluar produk berjenama L’amour Exclusive yang diasaskan oleh usahawan, Fezty Edayu Kamel itu berjaya menambat hati pengguna, terutama dalam kalangan penggemar minyak wangi.
Meskipun terpaksa berniaga dari rumah dan menggunakan ruang yang terhad sebagai tapak premis awal, ia langsung tidak dijadikan sebagai alasan, apatah lagi melemahkan semangat wanita cekal itu.
Jelas pemilik perniagaan L’amour Exclusive HQ dan L’amour Exclusive Boutique, bisnes yang tidak sampai setahun itu telah mula mendapat tempat dalam kalangan pengguna dari masa ke masa.
Ujar Fezty Edayu, semua operasi perniagaan termasuk pembungkusan dan kerja-kerja melabel pada ketika itu dilakukan seorang diri di rumah.
Berkat usaha tanpa mengenal erti jemu dan sabar, selain tidak mudah berputus asa, rezeki demi rezeki itu datang ‘bergolek’ menambah perolehan jualan bulanan, seterusnya hasil tahunan.
Ibu kepada tiga cahaya mata yang sebelum ini pernah membanting tulang bekerja sebagai operator kilang selama tujuh tahun itu tidak menyangka perubahan drastik yang berlaku pada dirinya.
“Saya sendiri tidak percaya atas pencapaian ini, selepas nekad berhenti kerja dan menggunakan modal awal sebanyak RM900 dengan niat mahu mengubah nasib keluarga, Allah permudahkan segala urusan saya.
“Daripada buat kerja seorang diri di rumah sampailah ke bahagian terakhir melibatkan aktiviti pengedaran, sudah ada pelanggan setia yang berminat untuk mendaftar sebagai pengedar.
“Paling tidak boleh dilupakan, berdepan cabaran dalam pandemik Covid-19 yang menyaksikan banyak syarikat terpaksa gulung tikar kerana menghadapi kesulitan dalam kewangan dan faktor lain.
“Namun, L’amour Exclusive kekal kukuh malah mampu mencatat jualan memberangsangkan selain mendapat sokongan baik daripada pengedar,” katanya.
Tambah Fezty Edayu, fasa demi fasa dilaluinya dengan pelbagai perancangan sehingga kini mampu mengeluarkan barisan produk seperti minyak wangi badan, cecair pembasmi kuman tangan dan minyak wangi kereta.
Namun usahawan ini sama seperti peniaga lain yang tidak terlepas daripada ujian ketika perniagaannya semakin berkembang maju.
Ia termasuk dituduh menghasilkan produk yang boleh mendatangkan impak negatif daripada aspek kesihatan pelanggan oleh individu yang dikenalinya sebelum ini, sedikit sebanyak menggugat semangatnya yang sedang membara untuk terus berniaga.
“Tidak dinafikan, ujian itu memberi kesan kepada saya. Ini membuatkan saya hampir putus asa apabila difitnah saudara terdekat sehingga membuatkan pembeli tidak percaya dan tidak yakin terhadap produk yang dijual,” ujarnya.
Selain itu, anak kelahiran Felda Serting Hilir, Jempol, Negeri Sembilan itu juga pernah ditipu pihak pembekal dengan melibatkan nilai lebih RM10,000.
Semua itu akhirnya telah membuatkan beliau lebih matang dalam menempuh dunia perniagaan, sekali gus mahu menaikkan empayar perniagaan yang diasaskannya.
Mengulas mengenai pelan perancangan masa hadapan, Fezty memberitahu, syarikat kini membuka peluang perniagaan kepada lebih ramai golongan suri rumah dan wanita sebagai pengedar produk.
“Buat masa sekarang, kami telah memiliki lebih daripada 1,500 pengedar berdaftar dan aktif di seluruh negara termasuk di Singapura.
“Melihat kepada sambutan luar biasa itu, kami menyasarkan untuk menambah bilangan tersebut kepada sekali ganda lagi iaitu menjadi 3,000 pengedar menjelang awal tahun
hadapan.
“Kami juga bakal melancarkan minyak wangi terbaharu dalam masa terdekat yang dikenali sebagai Set Tropika yang mana didatangi dengan tiga wangian berasaskan buah-buahan segar sebagai set pengenalan hanya pada harga serendah RM18.
“Kami bakal menambah lagi outlet di setiap negeri selepas pembukaan outlet di Cheras, Selangor dan Gua Musang, Kelantan mendapat sambutan memberangsangkan,” katanya.
Tambah Fezty Edayu, syarikat yang berjaya mencatat jualan sehingga RM2.7 juta tahun lalu itu kini mempunyai dua agenda besar bakal dilaksanakan kelak.
Misi besar syarikat itu adalah untuk menembusi pasaran Indonesia, selain dalam perancangan membuka sebuah hab perniagaan sendiri yang berfungsi sebagai pusat pengoperasian utama syarikat di bawah satu bumbung. -KOSMO! ONLINE