fbpx

MPN pandang serius masalah PMKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketika ini, masih ada PMKS yang berdepan dengan masalah kewangan, modal pusingan dan tenaga kerja yang menyebabkan operasi perniagaan agak terjejas dalam fasa endemik kini. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) memandang serius situasi ekonomi global dan domestik pasca-pandemik Covid- 19 dan kesannya ke atas negara dan rakyat.

Ahli MPN, Datuk Michael Kang berkata, pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan antara yang paling terjejas akibat pandemik ini dan isu berkaitan PMKS sering kali dibincangkan di mesyuarat-mesyuarat MPN.

Beliau berkata, antara isu yang selalu dibangkitkan oleh pengusaha PMKS adalah masalah kekurangan tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor terutamanya perladangan yang dilaporkan mengalami kerugian hampir RM20 bilion pada tahun 2021.

“PMKS di negara ini sedang menghadapi kesukaran antaranya berkaitan kekurangan tenaga kerja dan aliran kewangan yang kritikal.

“MPN berperanan membawa suara PMKS yang amat terjejas dan memerlukan pertolongan daripada pihak kerajaan dari segi kemudahan untuk mendapatkan tenaga kerja asing serta bantuan kewangan,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Michael berkata, antara perkara yang perlu diberi keutamaan adalah mewujudkan satu polisi khas bagi memastikan PMKS boleh bangkit semula dan membantu merancakkan ekonomi negara.

Michael Kang

“Polisi berkenaan termasuklah dari segi pinjaman bank, permohonan bantuan, permohonan pekerja asing dan pembekalan di peringkat domestik dan global.

“Pasca Covid-19 menyebabkan ramai PMKS terpaksa melalui pelbagai kesukaran untuk bangkitkan semula perniagaan mereka, malah ada yang terpaksa gulung tikar. Justeru itu, polisi khusus ini perlu diberikan supaya PMKS dapat dibantu segera,” ujarnya.

Beliau berkata, MPN dimaklumkan bahawa sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima untuk semua sektor sehingga bulan September 2022 dan 467,223 (40.5 peratus) kuota telah diluluskan.

“Sehingga 12 September 2022, hanya 76,000 pekerja asing telah dibawa masuk ke negara. Susulan itu, negara kini mengalami kekurangan kira-kira sejuta tenaga kerja asing yang sedikit sebanyak memberi impak kepada pengoperasian PMKS.

“Susulan itu, satu perbincangan telah diadakan dengan pihak kerajaan yang mana kita berharap agar kerajaan dapat membenarkan blanket approval iaitu permohonan untuk mendapatkan tenaga kerja asing diluluskan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah yang diminta tanpa melalui pelbagai prosedur,” ujarnya.

Kata beliau, masalah kecairan aliran tunai dan pembiayaan PMKS juga menjadi perhatian utama MPN.

PMKS adalah antara segmen utama yang menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi dan penjanaan pendapatan negara. – Gambar hiasan

“Ada antara usahawan ketika kini bermasalah dalam pusingan modal kerana mereka tidak dapat beroperasi sebelum ini. Jadi, adalah amat penting untuk kerajaan mengambil peranan membantu golongan ini.

“Antara yang paling terjejas teruk dalam tempoh sebelum dan pasca pandemik adalah sektor pembinaan, pelancongan dan pembuatan.

“Malah, sektor eksport juga terjejas apabila terdapat negara luar yang mula mencari pembekal baharu kerana Malaysia tidak dapat membuat pengeluaran,” katanya.

Michael berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaporkan berdasarkan Firm’s Recovery From Covid-19 in Malaysia, Business Pulse Survey, Februari hingga Mac 2022 hanya 39 peratus firma di Malaysia mempunyai tunai tersedia kurang daripada satu bulan, manakala 23 peratus mengalami masalah pembayaran tertunggak.

“Laporan tersebut juga melaporkan, 75 peratus usahawan mengalami kelewatan membayar sekurang-kurangnya tiga bulan dan 11 peratus telah difailkan untuk ketidakkmampuan membayar (insolvency).

“Bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja, MPN telah mengesyorkan kepada kerajaan supaya satu Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia bagi meneliti permasalahan pengambilan pekerja asing serta mencari jalan penyelesaian dengan kadar segera,” katanya.

Tambahnya, MPN berpandangan langkah-langkah segera perlu diambil bagi mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing oleh semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara.

“Dalam usaha membantu pemulihan PMKS juga, MPN telah mengemukakan dua syor utama kepada kerajaan bagi menangani masalah aliran tunai dan pembiayaan PMKS iaitu penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan di bawah KUSKOP.

“MPN juga telah mengesyorkan supaya pihak bank diberi kebenaran untuk meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) kepada PMKS yang memerlukannya,” jelasnya.

Katanya, sebarang kelewatan dalam menyalurkan bantuan akan menjejaskan ketahanan perniagaan mereka, ia perlu diberi penekanan khusus supaya dapat meningkatkan lagi nilai tambah PMKS. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI