DUBAI – Seorang lelaki dari negeri Uttar Pradesh, India ditahan di Lapangan Terbang Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas pegawai-pegawai tersilap mengecam wajahnya sebagai salah seorang penjenayah yang dikehendaki, lapor laman berita Wion News.
Pengecaman tersebut dibuat menerusi aplikasi pengecaman wajah sejurus lelaki bernama Praveen Kumar itu melalui pemeriksaan imigresen UAE.
Selepas disoal secara selama berjam-jam berhubung kes silap identiti itu pada 11 Oktober lalu, dia dihantar pulang ke India awal semalam.
Selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, Praveen disambut oleh orang ramai dan petugas media sebelum dia menceritakan pengalaman pahitnya.
Praveen yang bekerja sebagai kontraktor untuk syarikat simen di Noida dan isterinya, Usha dalam perjalanan untuk bercuti selama seminggu ke Switzerland dan mempunyai penerbangan sambungan dari Abu Dhabi.
Agensi pelancongan yang menguruskan tiket pasangan itu telah menempah penerbangan sambungan dari Abu Dhabi kerana penerbangan terus ke Switzerland tidak tersedia.
Namun, selepas mendarat di lapangan terbang Abu Dhabi, pihak imigresen merampas pasport dan visa pasangan itu sebelum membawa mereka ke bilik berasingan untuk disoal siasat.
“Mereka menahan saya semalaman dan memaksa saya mengaku saya adalah individu yang mereka sangkakan dan memasukkan saya ke dalam sel tahanan pada waktu pagi.
“Kemudian, mereka membawa saya ke bandar lain, di mana saya ditahan dan disoal siasat selama berjam-jam,” ujarnya.
Selepas berita penahanan pasangan itu menjadi perhatian, ahli keluarga mereka menghantar ciapan di laman Twitter kepada Menteri Hal Ehwal Luar India, S. Jaishankar dan pegawai kanan kementerian yang lain bagi meminta bantuan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Narendra Modi dan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Adityanath atas tindakan pantas mereka dalam perkara itu,” tambah Praveen. – Agensi