PETALING JAYA – Golongan wanita perlu berhati-hati serta tidak sewenang-wenangnya menceritakan aurat wanita lain kepada lelaki bukan mahram termasuk suami.
Menerusi teguran oleh pendakwa bebas, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre berkata, beliau ada menerima pertanyaan mengenai hukum seorang wanita bercerita aurat kawannya kepada suami.
“Aurat ini tujuannya ditutup, sampai tidak boleh dilihat dan digambarkan. Jadi hukumnya haram bagi wanita menceritakan aurat kawan atau dirinya kepada orang bukan mahram.
“Kadangkala bercerita rambut panjang atau pendek, keriting atau berwarna selain bercerita tangan atau kaki kawannya cantik kepada suami,” katanya menerusi video dimuat naik pada Instagram.
Dalam pada itu, beliau memetik hadis Nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh Saidina Ibnu Mas’ud terdapat di dalam Sahih Bukhari dan Muslim.
“Terjemahannya begini, janganlah seseorang wanita bergaul dengan kawan wanitanya dan kemudian bercerita kepada suami. Sampai suaminya seolah-olah boleh menggambarkan wanita diceritakan tadi.
“Jadi jaga-jaga, jangan senang sangat hendak bercerita aurat kawan-kawan atau saudara-mara wanita kepada lelaki bukan mahram,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE