fbpx

Gagal seludup ganja jenama 69, JJJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Romli (tiga dari kanan) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja jenama 69 di Pejabat APMM Kuala Perlis, hari ini.

KUALA PERLIS – Maritim Malaysia (APMM) merampas 10 kilogram (kg) ganja dan 2kg syabu bernilai RM156,000 di perairan negeri ini pada awal pagi Sabtu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 4.30 pagi itu, penguat kuasa APMM mengejar sebuah sampan ekor biawak pada kedudukan kira-kira 0.18 batu nautika dari barat Pulau Ketam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dan Unit Risik Zon Maritim Kuala Kedah (ZMKH).

Risikan dan intipan turut melibatkan Bahagian Perisikan Ibu Pejabat (MIND) dan Unit Detektif Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM) sejak beberapa minggu lalu dan aset-aset ZMKP diletakkan dalam keadaan bersiap sedia sepanjang tempoh tersebut.

“Ketika serbuan, seorang suspek yang mengemudi bot ekor biawak tanpa nombor pendaftaran dikejar selama 20 minit sebelum menukar haluan ke arah paya bakau dan terjun laut untuk meloloskan diri.

“Hasil penggeledahan di atas bot tersebut menemui satu tong minyak berwarna biru berisi 10 ketulan daun kering disyaki ganja dan dua bungkusan plastik kuning dipercayai syabu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Romli, terdapat nombor 69 dan huruf JJJ dibentuk pada beberapa ketulan mampat tersebut dipercayai jenama pengeluar serta pelekat bertulisan Thailand.

Beliau tidak menolak kemungkinan dadah itu diseludup dari negara jiran dan jumlah dadah itu boleh menampung permintaan sehingga 10,000 penagih.

“Ini adalah rampasan dadah yang kelima bagi tahun ini oleh Zon Maritim Kuala Perlis. Siasatan meliputi dalang utama sindiket dipercayai rakyat tempatan dan warga asing di Kedah dan Perlis.

“Sindiket kini menukar modus operandi menerusi penyeludupan jalan laut menggunakan bot kayu enjin bergalah bagi memudahkan pergerakan di perairan cetek,” jelasnya.

Tambahnya, kedudukan geografi Malaysia-Thailand yang dekat di samping banyak jeti nelayan serta kawasan paya bakau digunakan sepenuhnya penyeludup bagi memudahkan kegiatan penyeludupan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI