PETALING JAYA – EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah memeterai memorandum kerjasama (MoA) dengan SAEAN Group Inc (SAEAN) yang berpangkalan di California.
Kerjasama tersebut bertujuan untuk membangunkan dan mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) bagi segmen A iaitu kereta elektrik empat tempat duduk lima pintu.
Pakatan strategik itu juga mungkin mendorong kedua entiti tersebut meneroka dalam pembuatan EV industri berat untuk sektor pembinaan.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, di bawah perkongsian tersebut, SAEAN akan menawarkan pengetahuan teknikal dan reka bentuk untuk EV selain dibangunkan bersama EPMB.
“Kami menyasarkan untuk mengeluarkan secara besar-besaran sebanyak 20,000 EV setahun untuk pasaran Asia Tenggara, sekali gus menandakan penerokaan EPMB dalam pembuatan EV.
“Ini adalah satu lagi peristiwa penting bagi EPMB, berikutan usaha berterusannya untuk mengeluarkan skuter elektrik dan menerokai perdagangan kredit karbon,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
SAEAN yang ditubuhkan pada tahun 2013 adalah peserta EV yang telah membangunkan kereta elektrik empat tempat duduk lima pintu segmen A dan banyak teknologi kenderaan elektrik yang lain.
Syarikat itu juga kini memiliki lebih 120 paten berkaitan EV dengan pusat penyelidikan dan pembangunannya di Korea Selatan.
“Kami bersedia untuk menjadi salah satu pengeluar EV tempatan pertama di Malaysia sebaik sahaja usaha sama dengan SAEAN ini dimulakan.
“Kami menyasarkan, melalui kerjasama ini, kami boleh menggunakan lebih banyak sumber tempatan untuk menyokong pemasangan kenderaan tempatan kami,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE