WASHINGTON – Satu laporan dikeluarkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mendapati bahawa kira-kira 123 juta orang atau 12 peratus daripada populasi Benua Sub Sahara berdepan krisis kekurangan makanan akut menjelang hujung tahun ini, lapor laman berita RT kelmarin.
Laporan dua kali setahun bertajuk Tinjauan Ekonomi Serantau yang diterbitkan Jumaat lalu itu mendedahkan jumlah penduduk yang dijangka bergelut dengan masalah tersebut akan meningkat 50 peratus tahun ini berbanding 82 juta orang yang terjejas sebelum pandemik.
Peningkatan signifikan itu didorong oleh impak pandemik Covid-19 dan kesan limpahan daripada konflik Russia-Ukraine, yang diburukkan lagi dengan pergolakan serta kemarau yang semakin teruk di sebahagian rantau Sub Sahara Afrika.
“Apa yang membimbangkan kami adalah hakikat bahawa semua masalah ini berlaku akibat ‘kekacauan’ yang disebabkan oleh pandemik.
“Apabila saya berada di negara Chad (Mei lalu), saya berasa kecewa melihat keadaan bekalan makanan yang amat, amat menyedihkan,” kata Pengarah Jabatan Afrika IMF, Abebe Selassie.
Menurutnya, Ethiopia, Somalia dan sebahagian Kenya juga bakal menyaksikan hujan tidak akan turun buat lima musim berturut-turut di samping krisis kebuluran semakin meningkat di Somalia.
Sementara itu, IMF berkata, inflasi harga makanan tahunan di Benua Sub Sahara juga mencecah paras lebih 10 peratus sejak separuh kedua tahun lalu.
Tinjauan ekonomi baharu agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut pada minggu lepas turut menyemak semula sasaran inflasi serantau sebanyak dua peratus menjadi 8.7 peratus bagi tahun ini.
“Inflasi merupakan ‘cukai’ tersembunyi untuk golongan miskin,” kata Selassie. – Agensi