JELI – Sepasang suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki bersama seorang anak perempuan dan cucu mereka terbabas sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Batu 9, Jalan Raya Timur Barat dekat Batu Melintang di hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Muhammad Mat Yusoff, 60, yang bekerja sebagai penoreh getah dan isterinya, Ruhani Mohamed, 54, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah selepas tersepit di dalam kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, siasatan awal mendapati, Muhammad memandu kereta tersebut dan sedang dalam perjalanan ke Baling, Kedah untuk menghantar anak perempuan berusia 23 tahun dan cucunya yang berusia enam bulan.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah MPV jenis Proton Exora dinaiki empat individu berusia 9 hingga 43 tahun.
“Nahas tersebut menyebabkan Muhammad dan isteri maut di lokasi kejadian manakala anak bersama cucunya cedera pada bahagian kepala.
“Pemandu Proton Exora yang berusia 43 tahun dan kanak-kanak berusia 11 tahun tidak cedera, namun dua penumpang kenderaan itu mengalami patah tangan kiri dan luka pada mulut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad, pasangan suami isteri yang tersepit di dalam kereta itu berjaya dikeluarkan dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Jeli yang tiba di lokasi kejadian.
Katanya, dua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Jeli di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE