TAMPIN – UMNO Bahagian Tampin mengusulkan supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketuanya, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, ia tiga usul yang diputuskan UMNO bahagian berkenaan selain isu calon dan kerusi parti dikekalkan seperti sebelum ini.
“UMNO Bahagian Tampin menyokong penuh keputusan TOP 5 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada SPR menentukan tarikh PRU yang sebenar serta melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai poster boy.
“Sehubungan itu UMNO Bahagian Tampin juga mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri diangkat semula sebagai PM yang ke-10 sekiranya UMNO kembali berkuasa selepas PRU15 nanti,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian sempena usul yang diputuskan dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Tampin di Gemas, semalam.
Ujar Mohd Isam, usul sebagai PM akan datang adalah berdasarkan keupayaan Ismail Sabri yang dianggap berjaya menstabilkan semula suasana politik negara walaupun menerajui sebuah kerajaan campuran.
Menurutnya, penampilan diri yang low profile serta sentiasa peka dengan denyut nadi rakyat adalah ciri-ciri kepimpinan yang amat diperlukan oleh rakyat Malaysia ketika ini.- KOSMO! ONLINE