KUALA TERENGGANU – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid sanggup menggunakan simbol bulan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penyandang Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu memberitahu, tidak salah sekiranya menggunakan simbol yang sinonim dengan Pas tersebut sekiranya ia boleh menjamin kemenangan semua calon Perikatan Nasional (PN) termasuk Bersatu di negeri Pantai Timur berkenaan.
“Saya bersedia (menggunakan simbol bulan) asalkan kita boleh menang (pada PRU15).
“Begitupun, pucuk pimpinan (Bersatu) yang akan memutuskan logo mana yang digunakan PN pada PRU15 ini. Saya akan akur,” katanya di sini hari ini
Kosmo! semalam melaporkan Pas akan menggunakan simbol bulan pada semua calonnya di semua negeri dikuasai parti tersebut iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan ia disebabkan bukan sahaja disebabkan kekuatan akar umbi malah simbol bulan itu sudah sinonim dengan pengundi-pengundi di tiga negeri berkenaan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rosol yang Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu atas tiket BN dengan majoriti 2,868 undi.
Begitupun, beliau mengisytiharkan keluar UMNO dengan menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018. – KOSMO! ONLINE